Logo KBBA

BERITA SEMASA : GERAKAN SINGKIR KHALID JADI SENJATA MAKAN TUAN BAGI PAKATAN?

August 13, 2014



KUALA LUMPUR: Gerakan untuk menyingkirkan Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diterajui pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat menjadi ‘senjata makan tuan’ dan berpotensi menghancurkan Pakatan Rakyat (PR).
Penganalisis politik berkata krisis MB Selangor itu membawa implikasi kepada PR seluruh negara, kerana ia menunjukkan sikap sebenar pucuk pimpinan dan nilai ketelusan sebuah parti dalam mencapai matlamat yang diinginkan.

Apakah kegagalan PR mencapai persetujuan dalam isu MB Selangor dengan keengganan PAS bersetuju dengan rakan sekutunya bakal menjadi punca kepada perpecahan PR seperti yang berlaku pada Barisan Alternatif pada 2001 kerana bantahan PKR dan DAP dalam isu hudud?

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata PR tidak lagi layak mengatakan mereka adalah pemerintah Selangor, ekoran tidak boleh mencapai persetujuan dalam pemilihan ketua.

Gerakan singkir Khalid jadi senjata makan tuan bagi Pakatan?

Tambah beliau PKR tersalah langkah dalam permainan mereka, kerana lawan yang dipilih adalah Abdul Khalid, individu berprinsip yang memberi keutamaan kepada rakyat tanpa mengira ‘siapa yang sedang bermain atau menggerakkan buah catur’ di hadapannya.

“Saya melihat niat utama Abdul Khalid bukan untuk mempertahankan kerusi MB, namun lebih utama beliau menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bagaimana tahap ketelusan yang ada di dalam PR, khususnya di dalam PKR,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Tarmizi menambah kesilapan yang dilakukan adalah memandang rendah kemampuan Abdul Khalid dalam bidang politik memandangkan beliau lebih ke hadapan sebagai tokoh pentabiran dan pengurusan, ekoran latar belakangnya sebagai tokoh korporat.

“Abdul Khalid tak banyak bermain politik. Tapi beliau lebih kepada rakyat. Beliau tak perlu mengharapkan gaji MB kerana sudah tentu tidak setimpal dengan beban kerja. Jika wang ringgit yang menjadi keutamaan lebih baik beliau kekal dengan dunia korporatnya,” katanya.

Pendapat sama diutarakan oleh Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Attory Hussain melihat PAS walaupun tidak menyatakan secara terbuka, isu Abdul Khalid menyebabkan parti itu kini berada dalam kedudukan 50-50 dalam pertaliannya dengan PR.

Justeru, PAS sewajarnya memikirkan adakah mereka masih mahu berkolaborasi dalam gabungan itu, kerana menurut Attory, jalan terbaik adalah untuk parti itu kembali berdiri sendiri.

“Dalam kemelut MB, Umno menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid, dan jika Abdul Khalid memilih untuk menyertai PAS (beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan ini), adakah sokongan Umno masih utuh jika PAS masih bersama PR?

“Ini perkara yang perlu dilihat kerana darjah perbalahan antara Umno dan PAS tidak sehangat Umno dan PKR, yang banyak dianggotai oleh bekas anggota Umno,” katanya.

Attory berkata figura bernama Abdul Khalid itu boleh melahirkan dimensi politik baharu yang lebih positif, berpendirian dan berpegang kepada kebenaran.

“Ini x-factor Abdul Khalid. Saya fikir tidak ada masalah untuk beliau menyertai parti lain sama ada PAS, malah Umno juga pasti berbesar hati untuk menerimanya, walaupun saya berpendapat beliau berat ke arah PAS,” katanya.

Sementara itu Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata Abdul Khalid kini perlu menimbangkan setiap implikasi yang boleh berlaku apabila menyertai sesebuah parti politik.

“Jika beliau memilih untuk menyertai PAS, sudah tentu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada PKR yang cuba menyingkirkannya dan DAP yang menyokong gerakan itu. Jadi adakah PAS masih mahu bersama PR jika itu berlaku?,” soalnya.

SUMBER DR: — AstroAwani   SINI


NOTA; berita semasa..untuk maklumat..baca dan lihat aje..no komen..hehehe :)


You Might Also Like

1 pesanan ditinggalkan

  1. haru biru jadinya...

    saya singgah sini dari blog mialiana.. :)

    jemput singgah : Hikayat Budak Pening

    ReplyDelete

tinggalkan komen anda di sini ^O^